Tuesday, 17, September, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah 33 GRO warga asing dicekup di Langkawi

33 GRO warga asing dicekup di Langkawi

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – 33 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan di lokasi premis yang diubahsuai dan berada di tengah pusat bandar, di sini.

Menurut Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, operasi bermula pada jam 11.30 malam pada Ahad melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah. 

“Seramai 43 individu terdiri daripada 20 lelaki dan seorang perempuan warganegara tempatan serta 21 perempuan dan seorang lelaki warganegara asing telah diperiksa dalam siri OPS GEGAR.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 orang yang terdiri daripada wanita warganegara Thailand berumur di antara 19 hingga 38 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Jelasnya, serbuan dibuat di premis kedai dua tingkat yang telah diubahsuai dijadikan Pusat Hiburan dan  menawarkan GRO bagi menarik pengunjung lelaki yang inginkan ‘Layanan Istimewa’.

Imigresen turut mengeluarkan Borang 29 kepada dua orang lelaki warganegara tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis bagi membantu siasatan..

Mohd Ridzzuan berkata, seterusnya pasukan serbuan juga telah membuat pemeriksaan di beberapa lagi lokasi lain dan telah memeriksa seramai 56 orang warga tempatan serta berjaya menahan seramai 12 orang warga asing pelbagai warganegara di sekitar daerah ini. 

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warganegara asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral yang berselindung di sebalik Pusat Hiburan di kawasan tumpuan pelancong yang dipercayai menyalahgunakan Pas Lawatan (Sosial) serta tidak memiliki Pas atau Dokumen Pengenalan Diri yang sah.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah pelanggaran syarat Pas, tiada dokumen pengenalan diri yang sah, kesalahan tinggal melebihi masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kesemua tangkapan ditempatkan sementara di Lokap Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah (Cawangan Langkawi) untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

Katanya lagi, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com