Tuesday, 17, September, 2024
Utama Ekonomi NCER Catat RM15.26 Bilion Pelaburan Direalisasikan di Kedah dalam Tempoh Tujuh Bulan 

NCER Catat RM15.26 Bilion Pelaburan Direalisasikan di Kedah dalam Tempoh Tujuh Bulan 

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Sebanyak RM15.26 bilion pelaburan telah direalisasi serta 1,700 peluang pekerjaan diwujudkan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kerajaan Negeri Kedah dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024.  

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata jumlah berkenaan berjaya mengatasi realisasi pelaburan sebanyak RM5.43 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu. 

“Prestasi baik ini menjadi bukti keberkesanan Pelan Pembangunan Strategik NCER dan NCIA turut yakin prestasi keseluruhan tahun ini akan berjaya melepasi pencapaian tahun 2023 di Negeri Kedah. 

“Tahun ini juga, NCIA telah memperkenalkan inisiatif FaCi@NCER yang bertujuan untuk mempercepatkan proses merealisasikan pelaburan di NCER dengan menghubungkan pelbagai pihak pemegang taruh dalam sebuah rantaian proses kelulusan yang komprehensif,” kata beliau. 

Pengumuman prestasi pelaburan NCER bagi Negeri Kedah telah diumumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JPN) Negeri Kedah yang dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Selepas mesyuarat berkenaan, Muhammad Sanusi turut menyempurnakan Majlis Apresiasi Ekosistem Peranti Perubatan Di Negeri Kedah anjuran NCIA bagi menghargai sumbangan pemain-pemain industri iaitu melibatkan syarikat Richter Rubber, KHTP Sterilisation, Diptech Industries dan  Ideal Care.  

Mohamad Haris berkata, industri peranti perubatan merupakan antara elemen penting dalam sektor pembuatan bernilai tinggi atau High Value Manufacturing yang telah berkembang maju di Negeri Kedah terutamanya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan kawasan perindustrian sekitar Sungai Petani. 

“Sejak 2019, NCIA telah berjaya merealisasi pelaburan kumulatif sebanyak RM34.8 bilion dan lebih 16,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi di Negeri Kedah. 

Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM1.56 bilion telah disumbangkan oleh industri peranti perubatan dengan lebih 1,600 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir berjaya diwujudkan. 

“Saya yakin, menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER, Negeri Kedah mampu menjadi Hab Pembuatan Peranti Perubatan pilihan bukan sahaja di peringkat tempatan malah berdaya saing di peringkat global pada masa hadapan,” jelas beliau.  

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com