Tuesday, 17, September, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Bekas jururawat rugi RM1.9 juta diperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bekas jururawat rugi RM1.9 juta diperdaya skim pelaburan tidak wujud

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seorang pesara jururawat berusia 76 tahun kerugian lebih RM1.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan syarikat antarabangsa asing yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, mangsa yang sebelum ini bekerja di Sydney, Australia itu melihat pelaburan itu yang diiklankan melalui laman YouTube.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan wakil syarikat terbabit pada mulanya dan diterangkan berkaitan pelaburan itu melalui kelas atas talian yang diadakan oleh pihak syarikat.

“Mangsa sudah membuat bayaran modal berjumlah RM100,000 pada 17 Jun lalu dan selepas itu pengadu terus membuat bayaran lagi sebanyak 19 kali transaksi ke pelbagai akaun bank yang dibekalkan berjumlah RM1.9 juta.

“Mangsa dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam tempoh masa sebulan namun sehingga laporan polis dibuat semalam (Selsa) di Balai Polis Jitra, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Yew Lik, siasatan mendapati pelaburan itu adalah palsu dan menggunakan nama pelaburan Capital Dynamic yang adalah pelaburan antarabangsa.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK Kedah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan keuntungan lumayan supaya tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan tidal wujud.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan laman web HTTPS://SEMAKMULE.RMP.GOV.MY sebelum membuat pelaburan kepada mana-mana syarikat atau platform pelaburan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com