Tuesday, 17, September, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah 400 kg daun ketum dilonggokkan atas jeti, tak sempat diseludup

400 kg daun ketum dilonggokkan atas jeti, tak sempat diseludup

oleh Ammar Haziq


KUALA KEDAH – Sebanyak 40 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah pada kedudukan 1.7 batu nautika timur muara Kuala Kedah pada pukul 11.30 malam semalam.


Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti ishak berkata, rampasan dibuat berikutan pengesanan maklumat risikan berkaitan sindiket tempatan yang masih bergiat aktif melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.


Berikutan itu sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan menerusi OP AMAN.


Semasa rondaan di sekitar muara, anggota bot telah mengesan beberapa bungkusan plastik hitam dilonggokkan di atas jeti persendirian dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai menunggu masa sesuai untuk diambil oleh bot bagi tujuan diseludup melalui jalan laut.


Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan 40 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan-bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran berat 400 kilogram bernilai RM4 ribu mengikut anggaran nilai semasa di Malaysia iaitu RM10 bagi sekilogram daun ketum.


Kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum itu telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.


Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.


Hasil siasatan juga mendapati, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran masih berlaku namun tidak serancak sebelum ini, berikutan negara jiran telah membenarkan penanaman pokok ketum di sana.


Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu NG999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com