Thursday, 19, September, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Cubaan seludup 129 kg ketum gagal

Cubaan seludup 129 kg ketum gagal

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP –  Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) telah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan sebanyak 129 kilogram ( kg) ketum di sempadan Malaysia – Thailand pada 5 September lalu.

Kejadian tersebut berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd). 

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, 
dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, pasukan beroperasi telah menahan empat lelaki warga tempatan berumur antara 22 hingga 43 tahun.

Mereka ditahan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitshubishi Pajero dan dua buah motosikal Honda Wave dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia – Thailand. 

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek telah melakukan aktiviti penyeludupan ketum dengan cara meninggalkan bungkusan ketum di beberapa kawasan di sekitar kawasan hutan sempadan Malaysia – Thailand.

“Pasukan beroperasi seterusnya bertindak melaksanakan serbuan di kawasan yang dimaklumkan hasil daripada soal siasat ke atas suspek.

“Hasil serbuan menemui enam buah guni berisi daun ketum seberat 129 kg, sebuah motosikal Honda Wave, empat buah telefon bimbit, tiga buah beg, sebilah parang dan sebuah power bank,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM 60,320. 

“Kesemua suspek, bungkusan dan kenderaan tersebut dengan telah diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.  

“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com