Friday, 20, September, 2024
Utama Negeri Kedah salur bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas banjir

Kedah salur bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas banjir

oleh Ammar Haziq

Susulan bencana banjir yang sedang melanda beberapa daerah di negeri ini, Kerajaan Negeri akan segera memberikan bantuan awal Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit.

Selain itu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan (Agensi Pengurusan Bencana Negara) sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.

Setakat jam 2 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar (8), Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3).

Seramai 3,835 mangsa dengan 1,137 KIR ditempatkan di kesemua PPS berkenaan.

Saya ingin menasihatkan semua individu yang terbabit agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS.

Kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan.

PKOB Negeri dan PKOB Daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa.

Ibu bapa terutamanya awasilah anak-anak anda bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ini adalah ujian daripada Allah SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah
19 September 2024

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com