Friday, 18, October, 2024
Utama Nasional MB Kedah mohon ampun kepada Sultan Selangor

MB Kedah mohon ampun kepada Sultan Selangor

oleh Ammar Haziq

PERMOHONAN AMPUN MENTERI BESAR KEDAH YAB DATO’ SERI HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR KEPADA SULTAN SELANGOR DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ

Patik, Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.

Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan DYMM Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. 

Patik ingin menyembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan DYMM Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihanraya.

Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor serta YAB Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik.

Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Sekian, menjunjung kasih Tuanku.

Patik pacal yang hina.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor SPMK., AMK

Menteri Besar Kedah

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com