PENDANG – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di sebuah gerai kuih muih berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Rambai, Tokai, di sini pada Selasa.
Seorang peniaga, Peniaga, Mahmud Lebai Salleh, 77 menemui bayi tersebut yang diletakkan di dalam sebuah kotak semasa sedang menjual kuih-muih di gerainya pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, dia yang tiba pada jam 6.45 pagi di gerai tersebut memulakan perniagaan seperti biasa sebelum mendengar bunyi seperti suara anak kucing di tepi gerainya.
“Saya mencari bunyi tersebut dan melihat sebuah kotak diletakkan di atas meja di tepi gerai.
“Saya terus membuka kotak tersebut dan terlihat seorang bayi lelaki diletakkan di dalam kotak,” katanya sebelum menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan penemuan tersebut.
Jelasnya, jururawat dari Klinik Desa Kampung Rambai telah sampai Kira-kira pukul 8 pagi sebelum anggota polis tiba
dan membawa bayi tersebut ke Hospital Pendang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Roslan Mat berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan bayi pada jam 8.08 pagi.
Menurutnya, polis dari IPD Pendang hadir ke lokasi kejadian mendapati keadaan bayi itu masih bertali pusat dan dipercayai tempoh dilahirkan kurang daripada 12 jam.
“Bayi itu juga dibaluti dengan kain pelikat di dalam kotak dan ditinggalkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pendang untuk menerima rawatan dan disahkan dalam keadaan sihat,” katanya.
Roslan berkata, penemuan bayi lelaki itu kini diserahkan dibawah jagaan sementara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Affendi Mohd Yunus di talian 04-7596222 bagi membantu siasatan,” katanya.