Friday, 18, October, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Penyeludup lari tinggalkan 628 kg daun ketum selepas pacuan empat roda terbalik

Penyeludup lari tinggalkan 628 kg daun ketum selepas pacuan empat roda terbalik

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Beberapa orang penyeludup melarikan diri dan meninggalkan sebanyak 628 kilogram (kg) daun ketum selepas pacuan empat roda dan sebuah motosikal dinaiki mereka terbalik dipercayai hilang kawalan ketika cuba melarikan diri di  sempadan Malaysia –Thailand, dekat sini pada petang Jumaat.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, suspek melarikan diri selepas dikejar pasukan operasinya dalam kejadian jam 3.30 petang di  sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

Menurutnya, terdahulu,  pasukan beroperasi telah berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi beberapa buah motosikal dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia. 

“Pasukan beroperasi bertindak mengejar kesemua kenderaan tersebut dan mendapati terdapat sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal telah terbalik dipercayai hilang kawalan dan suspek berjaya melarikan diri,” katanya pada Sabtu.

Jelas Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia lagi, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan motosikal terbalik tersebut telah menemui bungkusan dipercayai daun ketum sebanyak sembilan buah guni putih dan 33 plastik hitam yang berisi daun ketum dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 628 kg bernilai RM 18,840.

Menurutnya, semua daun ketum tersebut dipercayai cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand melalui laluan tidak sah. 

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Nerang, Padang Terap dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan daun ketum termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave 110i berjumlah sebanyak RM 81,340,” ujarnya.

Tambahnya, Tentera Darat Malaysia akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan. 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com