BALING – 200 mangsa banjir di sekitar kawasan Kampung Sri Ketengga, Mukim Siong, di sini menerima sumbangan berbentuk pek makanan daripada Islamic Aid Malaysia(IAM) dengan kerjasama pihak EKUITI NASIONAL BERHAD (EKUINAS) baru-baru ini.
Program ‘Bantuan Mangsa Banjir Kedah’. Bantuan ini memberi fokus kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya golongan Asnaf yang terkesan akibat bencana banjir di negeri Kedah.
Setiap penerima sumbangan menerima sumbangan berupa pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, tepung, sardin, dan lain-lain lagi yang disalurkan terus kepada mangsa banjir berkenaan.
Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya berterima kasih kepada EKUINAS yang memberi kepercayaan dan juga prihatin terhadap usaha-usaha kemanusian yang telah dilaksanakan oleh pihaknya.
‘Kami berharap agar dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesusahan mereka di kala kenaikan kos sara hidup ketika ini.
“Misi bantuan ini membuktikan bahawa kami prihatin terhadap keperluan masyarakat tempatan. Program ini merupakan program kecemasan dalam membantu mangsa-mangsa banjir. Konsep bantuan yang dilaksanakan adalah berkunjung ke lokasi mangsa dan menghulurkan bantuan berupa pek makanan bagi mengurangkan beban kesusahan yang dihadapi,” katanya.
Jelas beliau, selain daripada menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan, pihaknya juga akan turut mempertimbangkan usaha-usaha lain yang seharusnya dilaksanakan di mana usaha ini akan melibatkan penglibatan sukarelawan IAM dan kakitangan EKUINAS, ujarnya.
Menurutnya, konsep membantu meringankan beban mangsa banjir yang dilaksanakan oleh IAM adalah lebih bersistematik dan teratur di mana golongan yang amat memerlukan khususnya di kawasan luar bandar.
“Menjadi agenda utama IAM dalam menyampaikan amanah orang ramai. Saya turut menyeru supaya lebih banyak lagi syarikat korporat turut mencontohi usaha EKUINAS ini dalam menjayakan misi-misi kemanusiaan dan kebajikan IAM,”ujarnya.