Saturday, 26, October, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Penuntut universiti direman bantu siasatan kes tipu sumbangan NGO

Penuntut universiti direman bantu siasatan kes tipu sumbangan NGO

oleh Ammar Haziq

JITRA – Mahkamah membenarkan seorang penuntut sebuah universiti awam yang disyaki menipu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Majistret, Nurul Huda Idris di Mahkamah Jitra, pada Khamis telah mengelaurkan perintah tahanan reman tersebut terhadap suspek berusia 23 tahun itu.

Terdahulu, media melaporkan pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas mendakwa pelajar tersebut memperdayanya.

Menurutnya, dengan bermodalkan cerita sedih, pelajar bekenaan mendakwa kononnya tidak dapat membayar yuran pengajian sebanyak RM5,000 bagi meneruskan pengajian di universitinya.

Zuraini kemudiannya memuat naik hantaran di Facebook bagi mengajak orang ramai membantu pelajar berkenaan hingga pelajar itu menerima sumbangan sebanyak RM1,176 dalam tempoh sejam yang dimasukkan terus ke dalam akaunnya.

Dalam pada itu,Wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Pulau Pinang, Eng Hiap Boon juga mendakwa 20 NGO termasuk individu turut ditipu pelajar berkenaan membabitkan jumlah sumbangan hampir RM200,000 sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, selepas kisah penipuan individu berkenaan dilaporkan media, terdapat empat mangsa telah menghubunginya memaklumkan mereka ditipu oleh pelajar berkenaan.

Beliau menggesa semua NGO ataupun pun individu yang pernah ditipu oleh individu tersebut agar tampil membuat laporan polis secepat mungkin.

“Saya sudah lama mendedahkan mengenai kegiatan licik pelajar ini menipu mangsa di seluruh negara. Kalau bercerita tentang kisah sedih, dia boleh menangis pada bila-bila masa untuk meraih simpati.

“Setakat ini dianggarkan lebih 20 NGO (ditipu) dan entah (mungkin) ramai lagi pihak perseorangan yang pernah ditipunya sebelum ini.

“Setakat ini anggaran jumlah yang ditipu mencecah hampir RM200,000,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com