Wednesday, 13, November, 2024
Utama Negeri Isteri hidap kencing manis setia jaga suami hilang ingatan akibat strok otak

Isteri hidap kencing manis setia jaga suami hilang ingatan akibat strok otak

oleh Ammar Haziq

SIK – “Saya terpaksa berhenti kerja selepas suami diserang strok otak sejak 6 September lalu, kami tiada sumber pendapatan kerana saya perlu menjaga suami yang turut hilang ingatan,” kata Nur Adila Wa Chek,43.

Nur Adila berkata dia terpaksa menjaga suaminya Mohd Shah Mat, 44, di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selama hampir sebulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 3 Oktober lalu.

Katanya, selepas pulang ke rumah, keadaan suaminya yang hilang ingatan menyebabkan dia tidak dapat keluar untuk mencari kerja baharu bagi menampung pendapatan keluarga.

“Suami saya sebelum ini menjual burger dengan pendapatan bersih kira-kira RM800 sebulan, saya pula baru bekerja sebagai pembanci pertanian secara kontrak pada Julai lalu, dan terpaksa berhenti untuk menjaga suami di hospital.

“Suami saya tidak mengenali sesiapa pun selepas diserang strok otak, ketika di hospital selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU), dia tidak kenal saya, saya terpaksa berulang kali beritahu saya adalah isterinya.

“Malah nak minta makan atau minum pun dia tidak tahu, jika saya tidak suap dia makan, dia tak akan makan, semuanya saya perlu uruskan,” katanya yang tinggal di Kampung Banggol Selayang di sini.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata dia dan keluarga kini bergantung dengan bantuan tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk kelangsungan hidup.

Katanya, wang itu tidak mencukupi kerana dua anaknya masih bersekolah dan anak sulungnya yang berusia 19 tahun dalam proses mencari kerja.

“Suami saya sudah boleh berjalan namun ingatannya tidak seperti dulu, dia tidak mengenali sesiapa pun kecuali saya dan anak-anak, saya terpaksa cerita satu per satu setiap ahli keluarga yang datang ziarah di rumah.

“Saya tidak boleh terlalu memberi banyak maklumat kepada suami kerana dia akan berasa sakit, suami saya banyak termenung, saya pun kadang-kadang rasa tertekan kerana perlu menguruskan anak-anak ke sekolah dan menjaga anak bongsu berusia tiga tahun yang menghadapi masalah speech delay (kelewatan bertutur) ,” katanya yang turut mengidap penyakit kencing manis.

Bagi meneruskan hidup, Nur Adila berkata dia terpaksa meminta bantuan ihsan rakan-rakan dan saudara termasuk badan bukan kerajaan (NGO) namun wang itu tidak tidak mencukupi bagi menampung keluarga.

Katanya, dia juga terpaksa menyewa kereta untuk membawa suaminya ke hospital kerana hanya memiliki motosikal untuk melakukan aktiviti harian.

“Suami saya terkena strok otak kerana jantungnya tidak stabil, sekarang dia perlu makan ubat jantung dan ambil ubat cair darah menerusi suntikan di perut, dia juga ada masalah buasir, sebelum ini pada 2021 suami saya pernah diserang strok otak sebelah kiri namun ia minor dan mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh, tapi kali ini lebih teruk apabila ia melibatkan kedua-dua belah otak.

“Suami saya sebelum ini juga pernah kemalangan pada 2013 menyebabkan kedua belah kakinya dimasukan besi dan tidak boleh melakukan kerja berat. Mungkin akibat hentakan ketika jatuh motosikal ketika kemalangan itu ia memberi kesan jangka panjang pada suami saya,” katanya yang tinggal di rumah yang dibina Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Bagi orang ramai yang mahu membantu Nur Adila dia boleh dihubungi menerusi nombor telefon 011-10745017 atau menerusi akaun Bank Rakyat miliknya (2243972040).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com