Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Graduan UUM raih pendapatan RM10,000 sebulan hasil buka studio fotografi

Graduan UUM raih pendapatan RM10,000 sebulan hasil buka studio fotografi

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Puteri Saidatul Azwa Tun Ali, 25, graduan Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan), telah menerima Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-37.

Kejayaannya ini adalah hasil daripada usaha gigih dan dedikasinya, yang membolehkan beliau memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM10,000 sekaligus membuktikan keupayaan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik dan juga berjaya sebagai usahawan.

Puteri Saidatul memulakan perniagaannya pada usia 18 tahun dengan menjual produk jualan langsung, hasil sokongan ibu bapanya.

Menurutnya, keuntungan tersebut digunakan sebagai modal untuk membuka Ptryali Studio, sebuah studio fotografi di Kuala Kangsar, Perak, yang kini menjana pendapatan premium.

“Memulakan perniagaan ini bukanlah mudah, terutamanya dalam mengurus kewangan dan memastikan aliran tunai mencukupi.

“Persaingan pasaran yang sentiasa berubah memaksa saya untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan trend terkini dalam fotografi,” katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UUM Ke-37.

Puteri menegaskan bahawa minat mendalam dalam bidang fotografi, terutamanya merakamkan kenangan majlis perkahwinan, menjadi pendorong utamanya.

Sokongan keluarga dan rakan-rakan juga menjadi tulang belakang yang menguatkan semangatnya ketika menghadapi cabaran dalam perniagaan dan pelajaran pada masa yang sama.

“Menyeimbangkan masa antara belajar dan mengurus perniagaan bukanlah mudah. Sering kali saya terpaksa berkorban waktu rehat dan bersengkang mata.

“Malah, saya perlu berulang-alik ke Kuala Kangsar hampir setiap minggu untuk menguruskan studio fotografi ini,” katanya yang kini mempunyai enam kakitangan.

Beliau juga berkongsi kenangan awal perniagaannya pada tahun 2019, apabila beliau diberi peluang untuk mengambil gambar majlis diraja melibatkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim untuk perasmian kilang kelapa sawit.

Walaupun berjaya dalam perniagaan dan akademik, Puteri tidak melupakan jasa ibu bapanya serta pensyarah di UUM seperti Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad dan CEDI yang banyak membantunya sepanjang berada di universiti.

Puteri Saidatul bercita-cita untuk memperluaskan lagi studio fotografi dan membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai. Beliau berharap kejayaannya akan menjadi contoh kepada adik-adik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan berjaya dalam bidang yang diceburi.

“Saya tidak pernah berasa putus asa untuk belajar kerana saya sukakan perkara dan ilmu baru. Berniaga dan belajar adalah sesuatu yang seronok bagi saya kerana saya boleh melakukan kedua-duanya sekali. Kedua-duanya adalah untuk masa depan saya dan keluarga,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com