KUBANG PASU – Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, mangsa lemas dalam tragedi kepala air semasa menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang, dekat Gopeng, pada Jumaat, sempat menghantar video keadaan sungai kepada ibunya sebelum kejadian berlaku.
Ibunya, Fatimah Walad, 70, berkata anaknya menghantar video berkenaan tiga jam sebelum kejadian melalui WhatsApp dan beliau menasihatkan anaknya agar lebih berhati-hati.
Menurut Fatimah, Muhammad Ikram memberitahu beliau bahawa dia hendak makan dahulu sebelum memulakan aktiviti rakit arus deras dan dia sempat menyuruh anak bongsu dari empat beradik itu solat jamak terlebih dahulu kerana sudah masuk waktu Zohor.
“Semasa kepala air naik, dia ambil video dan WhatsApp dalam jam tiga petang, mengatakan mak (paras) air tinggi,” katanya semasa ditemui di Taman Permata, di sini pada pagi Sabtu.
Fatimah berkata, dia hairan mengapa abang dan anak-anaknya datang ke rumahnya pada sebelah petang Jumaat tanpa sebarang pemberitahuan awal. “
Akhirnya mereka membuka mulut dan memaklumkan kejadian sebenar yang menimpa Pegawai Khidmat Pelanggan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi itu selepas waktu Maghrib.
“Mereka tidak maklum awal kepada makcik tentang kejadian menimpa Ikram kerana risaukan keadaan makcik yang tinggal seorang diri serta mempunyai masalah jantung,” katanya lagi.
Fatimah juga berkongsi perubahan ketara yang ditunjukkan oleh Muhammad Ikram dalam dua minggu terakhir, terutama hubungannya yang erat dengan anaknya, Aisy Adani, berusia setahun tujuh bulan.
“Dua minggu ini, anak dia nak tidur dengan abi sahaja, tidak mahu tidur atas bantal, nak tidur atas lengannya,” katanya lagi.
Fatimah menambah bahawa Ikram baru bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi sejak tiga tahun lalu dan tinggal bersendirian di sana.
“Sebelum ini dia tinggal dengan makcik selepas bapanya meninggal dunia sejak 2009. Ketika makcik menjalani pembedahan jantung tiga tahun lalu, dialah yang menjaga makcik. Namun selepas berkahwin dan mendapat kerja di Langkawi, dia tinggal di sana sendirian di kuarters JKR Langkawi.
“Manakala isterinya, Nur Afifah Amira Ahmad Fauzi, 29, dan anak tunggal mereka pula tinggal di rumah mentuanya di sini kerana isterinya bekerja di sebuah bank,” katanya.
Sementara itu, rakan arwah, Mohd Faris Mohd Husin, 30, kakitangan JKR Pendang, berkata dia cuba menghubungi Muhammad Ikram melalui WhatsApp pada jam 4 petang untuk mengetahui keadaan dirinya.
Dia sempat melihat status WhatsApp seorang lagi rakan mereka dan mendapati salah seorang mangsa lemas itu adalah Muhammad Ikram.
“Ketika itulah saya cuba menghantar WhatsApp kepada arwah untuk mengetahui keadaannya tetapi tidak dibalas, menyebabkan saya syak berlaku sesuatu padanya sebelum dimaklumkan dia sudah tiada,” katanya.
Jenazah Muhammad Ikram yang tiba dari Perak pada jam 8 pagi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Melele, Kodiang pada Sabtu.
Media melaporkan, tiga pegawai JKR lemas ketika melakukan aktiviti ‘water rafting’ pada program ‘team building’ di Sungai Jahang, Gopeng, Perak pada Jumaat.