LANGKAWI – Mayat seorang pemancing warga tempatan yang dilaporkan terjatuh ke laut daripada jambatan kayu sewaktu pulang daripada memancing pada malam Khamis telah ditemui terapung.
Mangsa ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kira-kira 0.15 Batu Nautika Selatan Jambatan Kayu Wave Breaker pada pukul 6.10 petang pada Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata kejadian berkenaan dilaporkan oleh adik ipar mangsa melalui panggilan kecemasan 999.
Adik ipar mangsa memaklumkan bahawa beliau cuba menolong mangsa, namun kejadian berlaku terlalu pantas.
Bertindak atas laporan yang diterima, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak aset Maritim Malaysia ke lokasi kejadian untuk melakukan pencarian awal.
Turut terlibat dalam pencarian mangsa adalah aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta sebuah bot pemancing awam.
Berikutan penemuan mayat pemancing berkenaan, Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti memancing di jambatan tersebut kerana keadaannya yang daif dan berbahaya.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau MRSC Langkawi di talian 04-9662750 yang beroperasi 24 jam.