PADANG TERAP – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 700 kilogram (kg) buah longan yang dianggarkan bernilai lebih RM3,000 di Pintu Masuk Kota Putra Durian Burung pada Isnin lalu.
Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Hisham Abu Bakar, dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pemeriksaan rapi oleh pasukan penguatkuasa menemui buah longan tersebut yang dibawa masuk tanpa perakuan 3P yang diwajibkan oleh FAMA.
Menurutnya, perkara tersebut Ini merupakan pelanggaran serius di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), dan semua barang rampasan kini ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun, denda maksimum RM100,000, atau kedua-duanya, bagi pesalah yang disabitkan kesalahan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini, termasuk tumbuhan, karkas, ikan, dan hasil pertanian, bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya.
Jelasnya, kerjasama antara agensi penguatkuasa adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk melindungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.
“Penguatkuasaan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha MAQIS dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.