Saturday, 28, December, 2024
Utama Ekonomi Tarif asas elektrik di Semenanjung dicadangkan dinaikkan mulai Julai 2025

Tarif asas elektrik di Semenanjung dicadangkan dinaikkan mulai Julai 2025

oleh Ammar Haziq

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan dalam satu kenyataannya kepada Bursa Malaysia bahawa kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Regulatory Period 4 (RP4) di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh Januari hingga Disember 2027.

Menurutnya, keputusan tersebut dinyatakan dalam surat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada TNB yang bertarikh 24 Disember lalu.

Jelas TNB, jadual tarif asas baru iaitu 45.62 sen sekilowatt-jam (kWh) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4 dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.

Sementara itu, jadual tarif elektrik semasa yang telah dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun 2025.

“Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” katanya.

TNB berkata kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3 peratus seperti di bawah RP3 dan ini akan membolehkan firma utiliti itu membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menurutnya, kos penjanaan kekal sebagai komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini.

“Sebarang kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

“TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau kedudukan kewangan syarikat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com