Sunday, 29, December, 2024
Utama Nasional “Kita tidak benarkan kenaikan elektrik jejaskan orang ramai” – PMX

“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik jejaskan orang ramai” – PMX

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan tidak membenarkan kenaikan tarif elektrik yang akan menjejaskan orang ramai.

Menurutnya, kenaikan kadar elektrik tidak seharusnya dikenakan kepada majoriti rakyat, sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.

“Mengenai pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kenaikan elektrik, tadi saya sudah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab, untuk meminta TNB memberi penjelasan.

“Kita tidak akan membenarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti yang dahulu itu hanya membabitkan golongan atasan yang saya sebut sebagai maha kaya ataupun industri yang mencatat keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di Masjid Al-Hana, Langkawi di Kedah, pada Jumaat.

Jelasnya, Kerajaan memahami peningkatan kos yang terpaksa ditanggung TNB, namun ia tidak sepatutnya menjejaskan kedudukan majoriti rakyat di negar ini.

“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh membabitkan atau (meletakkan) kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya.

TNB kepada Bursa Malaysia pada semalam berkata, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.

Menurutnya, perubahan ini akan berlaku di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun, yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Bagaimanapun, untuk enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com