Saturday, 4, January, 2025
Utama Sukan Rob Friend diumum CEO Harimau Malaya

Rob Friend diumum CEO Harimau Malaya

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Robert Douglas Friend, atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.

Beliau akan menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Pada 16 Disember 2024, FAM juga mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan, kedua-duanya berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Sebagai rekod, Rob Friend merupakan bekas pemain yang beraksi di posisi penyerang.

Antara kelab yang pernah diwakilinya ialah Moss FC dan Molde FK di Norway, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt, dan 1860 Munich di Jerman, serta LA Galaxy di Amerika Syarikat pada tahun 2014.

Dalam pasukan kebangsaan Kanada, beliau telah melakukan 32 penampilan antarabangsa dari 2003 hingga 2011.

Rob Friend berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, dan akan berusia 44 tahun pada 23 Januari depan dan beliau hadir dengan portfolio hebat dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak setelah bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

Beliau memulakan kerjaya sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah, dari 2014 sehingga kini.

Dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak, dan berjaya meningkatkan modal syarikat tersebut sehingga AS$150 juta.

Sejak 2019, Rob Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, sebuah badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur.

Beliau juga menjadi pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL), dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.

Rob Friend pernah menerajui pengurusan dua kelab di CPL sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022, serta Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.

Beliau banyak terlibat dalam pembangunan kelab, stadium, pusat latihan, pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan, serta pengurusan kewangan.

Pengalaman Rob Friend diharap mampu memberikan suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program pasukan kebangsaan, terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada peringkat permulaan ini.

Beliau juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini dilengkapi dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman.

Rob Friend akan memulakan tugas secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com