Tuesday, 7, January, 2025
Utama Negeri Dua bot bawa hampir 300 etnik Rohingya ditemukan di perairan Langkawi

Dua bot bawa hampir 300 etnik Rohingya ditemukan di perairan Langkawi

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengesan dan menemukan dua bot yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myanmar di kawasan dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi, lewat petang Jumaat.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, menyatakan bahawa semua PATI dalam bot tersebut berada dalam keadaan keletihan selepas menempuh perjalanan panjang tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

Menurutnya, hampir 300 orang PATI berada dalam bot tersebut. 

“Maritim Malaysia telah memberi bantuan berupa makanan dan minuman air bersih sebelum mengusir bot PATI tersebut ke perairan sempadan negara untuk meneruskan pelayaran mereka.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Rosli berkata,Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com