Tuesday, 14, January, 2025
Utama Negeri Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas merawai

Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas merawai

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – – Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah melakukan aktiviti merawai di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar sejak petang Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mangsa yang dikenali adalah Asrulhisham Zainon (47 tahun), anaknya Mohd Aiman Asrulhisham (maklumat tidak diberi) dan Mohd Amin (maklumat tidak diberi).

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Kuala Muda mengenai laporan kehilangan yang dibuat oleh adik salah seorang mangsa.

“Bertindak daripada laporan yang diterima, MRSC Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 ke lokasi aduan untuk melakukan pencarian.

“Usaha mengesan bot berkenaan turut melibatkan aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, sehingga kini, tiada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan mangsa.

“Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com