SUNGAI PETANI – Kehidupan Jihan, seorang wanita berusia 39 tahun, anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, berubah menjadi mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa penipuan seorang penjawat awam yang dikenalinya sejak 2020.
Pada mulanya, lelaki yang bekerja di Langkawi itu menunjukkan sifat romantisnya dan berjanji untuk berkahwin.
Jihan yang begitu mempercayai janji manis lelaki itu, akhirnya kerugian lebih RM300,000.
“Dia beritahu saya yang dia dalam proses untuk berpisah dengan isterinya walaupun sudah mempunyai seorang anak, namun semuanya tipu belaka,” katanya membuka cerita.
Kerana percaya pada janji untuk berkahwin, Jihan memenuhi semua permintaan lelaki tersebut, termasuk membelikan sebuah kereta BMW, sebuah motosikal, jam tangan berjenama bernilai RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000.
Dia juga memberikan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank lelaki itu setiap bulan.
“Saya mula mengikut kehendaknya memberi apa saja termasuk wang sejak 3 tahun lalu,” ujarnya.
Jihan turut mendakwa pernah diserang oleh isteri lelaki berkenaan.
Menurutnya, lelaki itu mulai menunjukkan sikap panas baran apabila dia tidak memberikan wang kepadanya sejak tahun lalu.
“Saya pernah dimaki hamun oleh lelaki berkenaan malah pada 10 Oktober 2023 pada jam 3.13 petang dia turut mencekik saya sehingga meninggalkan kesan merah, lebam di bahagian mata akibat ditumbuk serta dihantuk kepala,” katanya lagi.
Bekas teman lelaki itu turut mengugut dengan pelbagai ugutan termasuk mengaibkan Jihan kepada keluarganya jika tidak menurut kehendaknya, malah pernah mengacu pisau ketika mereka bergaduh tahun lalu.
Kehidupan Jihan kini dihantui ketakutan dan trauma.
Dia terpaksa menyekat nombor telefon lelaki tersebut bagi mengelakkan ugutan berterusan.
Namun, disebabkan tidak tahan lagi dengan penderitaan yang dialaminya, Jihan akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi Rabu lalu.
“Saya menyerahkan segalanya kepada polis untuk mengambil tindakan terhadapnya di atas apa yang berlaku,” katanya dengan harapan keadilan akan ditegakkan,” Katanya.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashaari ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.