Wednesday, 22, January, 2025
Utama Ekonomi Malaysia berpotensi besar jalin kerjasama ekonomi dengan UK

Malaysia berpotensi besar jalin kerjasama ekonomi dengan UK

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR– Malaysia berpotensi besar dalam menjalinkan kerjasama ekonomi dengan United Kingdom (UK) melalui dasar strategi industri yang diperkenalkan oleh kedua-dua negara, iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 dan Invest 2035 UK.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah, menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu bersungguh-sungguh mencari titik persamaan bagi melengkapi antara satu sama lain.

“Satu lagi potensi kerjasama antara kedua-dua negara adalah bidang Kecerdasan Buatan (AI). Beberapa hari lalu, UK melancarkan Pelan Tindakan Peluang AI yang bertujuan mempercepatkan integrasi AI dalam ekonominya.

“Begitu juga, Pejabat AI Nasional Malaysia yang dilancarkan pada Disember 2024 bertujuan mendorong inovasi dan membangunkan Kerangka Pengawalseliaan Penggunaan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke UK baru-baru ini.

Mohd Faiz menjelaskan bahawa lawatan tersebut telah membina landasan untuk negara dan yang tinggal hanya untuk melaksanakannya.

“Seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, ‘Kita ada janji untuk ditunaikan dan perjalanan jauh untuk dilalui’. Melihat interaksi Perdana Menteri dengan pegawai, ahli perniagaan dan pemikir negara itu sepanjang beberapa hari lepas, dapat disimpulkan bahawa lawatan itu adalah suntikan semangat yang sangat diperlukan untuk meremajakan dan membentuk semula hubungan dua hala Malaysia-UK,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hubungan tersebut tidak wujud dalam ruang yang kosong walaupun UK menghadapi cabaran dalam negaranya.

Menurutnya, antaranya langkah Brexit yang diambil UK dan pemotongan besar-besaran dalam belanjawan luar negeri dan pertahanannya, aspirasi UK untuk terus terlibat dengan Asia-Pasifik tidak pernah goyah apabila terdapat usaha berterusan untuk mengekalkan hubungan itu.

Sebelum ini, media melaporkan penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilihat membuka laluan yang lebih mudah untuk perdagangan dan pelaburan bersama Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia adalah perkembangan yang positif apabila kerajaan Inggeris bersetuju untuk menyertai perjanjian tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com