ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, malam ini.
Beliau pada hantaran di media sosial berkata, ucaptama itu yang bertajuk ASEAN-Even Stronger Together disampaikan pada jam 9 malam ini waktu Malaysia.
“Insya-Allah, saya akan mengupas keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini serta peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi global.
“Ikuti ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi ini secara langsung malam ini menerusi Facebook RTM dan Bernama serta siaran Awani,” katanya.
Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari menghadiri WEF 2025, yang merupakan penyertaan pertama beliau sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.
Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Sebelum ini Malaysia telah menjadi Pengerusi ASEAN dalam sejarah keanggotaannya iaitu tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.