Monday, 14, April, 2025
Utama Umum Potongan tol 50 peratus Tahun Baru Cina demi kesejahteraan rakyat

Potongan tol 50 peratus Tahun Baru Cina demi kesejahteraan rakyat

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA  – Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari ini.

Peruntukan bayaran pampasan oleh kerajaan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, potongan itu dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara, iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Menurutnya, potongan tol tersebut akan bermula 12.01 tengah malam pada 27 Jan (Isnin) dan akan berakhir 11.59 malam, pada 28 Jan (Selasa).

“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.

“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.

“Ia selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya mendapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, implikasi kewangan ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023,” katanya lagi.

Tambahnya, sepanjang tempoh tersebut, kerajaan membelanjakan RM356.18 juta pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com