Thursday, 30, January, 2025
Utama Nasional Perangi Maklumat Palsu, Chatbot Sebenarnya.my dilancarkan

Perangi Maklumat Palsu, Chatbot Sebenarnya.my dilancarkan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR- Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Komunikasi iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan Chatbot Sebenarnya.my bagi memerangi maklumat palsu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika berucap melancarkan program itu berkata Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check
Assistant (AIFA) turut berfungsi sebagai platform rakyat menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.

“Chatbot AIFA juga berperanan meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my dengan tiga objektif utama iaitu membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah.

“Ia juga akan mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian serta memperkukuh peranan Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata
ciri-ciri utama Chatbot AIFA adalah
aksesibiliti iaitu mesra pengguna dan boleh diakses sepanjang masa di portal
dan platform WhatsApp.

Katanya, Chatbot AIFA juga membantu mengesahkan fakta dengan pantas menggunakan algoritma dan
pembelajaran mesin (machine learning) untuk memadankan maklumat
dengan sumber yang boleh dipercayai.

“Antara lain ia berperanan bukan sekadar menyampaikan maklumat sahih bahkan mendidik pengguna mengenal pasti sumber maklumat (pendidikan digital) yang boleh dipercayai.

” Ia juga akan melibatka komuniti dengan menggalakkan rakyat terlibat secara aktif dengan platform chatbot yang disediakan,” jelas beliau.

Fahmi berkata Chatbot AIFA akan tersedia dalam pelbagai bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil
sekali gus memastikan akses kepada pelbagai kumpulan pengguna.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini, input hanya diterima dalam format teks namun, kemampuan untuk menerima input dalam pelbagai format akan diteroka pada masa depan.

“Rakyat disaran untuk menggunakan AIFA bagi mendapatkan kesahihan sesuatu
berita dan membantu pihak kerajaan dalam menangani penyebaran maklumat palsu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com