ALOR SETAR – Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2025 sebanyak RM500 akan mula dibayar kepada Pegawai Awam Gred 15 dan ke bawah pada 25 Februari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata bantuan itu turut dibayar kepada pegawai dan kakitangan lantikan kontrak.
Katanya, BKK tahun 2025 ini akan dibayar pada tarikh berkenaan dan menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran tersebut.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pembentangan Belanjawan Tahun 2025 telah mengumumkan pemberian BKK Tahun 2025 sebanyak RM500 kepada Pegawai Awam Gred 15 dan ke bawah dan pegawai serta kakitangan lantikan kontrak.
“Di samping itu, BKK ini dipanjangkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan bayaran sebanyak RM250,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pemberian BKK ini akan dikecualikan cukai pendapatan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 127(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ends