PUTRAJAYA – Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama di ASEAN yang membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza.
Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia yang juga Pengasas dan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, Datuk Sani Araby berkata, pembangunan bandar wakaf ini bukan sekadar inisiatif bantuan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global.
“Ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia yang merangkumi semua bangsa dan agama untuk membina semula Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, projek ini dijangka menelan belanja sekitar RM120 juta dengan pemberian tanah wakaf seluas 87 ekar yang telah dipersetujui dalam perjanjian di Gaza pada Februari 2023.
Jelasnya, setakat ini, pihak sekretariat telah menerima persetujuan wakaf bernilai RM40 juta.
Pelancaran rasmi projek ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan dijangka menjadi peristiwa bersejarah dalam hubungan diplomasi dan kemanusiaan Malaysia-Palestin.
Projek ini juga memperkukuh agenda Malaysia MADANI yang menekankan keprihatinan terhadap isu global, khususnya dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di Palestin.
Projek berimpak tinggi ini akan dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas bulan Ramadhan dan berada di bawah naungan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga peneraju ASEAN dengan menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.
Langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza pasca perang dan memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan Palestin.
Projek ini melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf yang mewakili semua negeri di Malaysia, sebuah masjid berkembar dengan Masjid Shah Alam, sebuah sekolah Malaysia, taman rekreasi, 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, sebuah klinik kesihatan, serta menara tangki air, menjadikannya satu ekosistem pembangunan yang lengkap dan mampan.
Beberapa komponen utama dalam pembangunan ini disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk pembinaan
Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Menara Tangki Air diwakafkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada komitmen negeri dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Sekolah Malaysia di Bandar Wakaf Gaza pula diwakafkan Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang diketuai oleh Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya ditaja oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dengan penglibatan langsung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai pusat makanan komuniti yang akan menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.
Apartmen Wakaf oleh Negeri-Negeri Lain seperti Kerajaan negeri Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang telah bersetuju untuk menyertai sinergi wakaf di Gaza sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.
Projek ini juga mendapat perkenan Sultan Selangor yang menitahkan dan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024.
Selain itu, kerajaan negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pelbagai agensi kerajaan turut menyatakan komitmen mereka dalam menjayakan projek ini.