Friday, 31, January, 2025
Utama Nasional PM arah kebajikan mangsa banjir diutamakan

PM arah kebajikan mangsa banjir diutamakan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Perdana Menteri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas seluruh jentera agensi Persekutuan dan negeri berikutan situasi banjir di Sabah dan Sarawak yang semakin memburuk.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.

“Berdukacita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak, saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini.

“Saya juga mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Anwar berkata pihaknya turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri di kedua-dua negeri terbabit mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.

Selain itu, beliau mengarahkan Skuad Ihsan MADANI turun membantu mangsa banjir di PPS serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.

“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 5,106 mangsa banjir membabitkan 1,416 keluarga di Sarawak berada di 42 pusat penempatan sementara (PPS).

Manakala di Sabah pula, terdapat 3,550 mangsa banjir di 25 PPS.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com