ALOR SETAR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial.
Titah baginda, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai.
“Saya juga merasa bimbang, dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.
“Oleh itu kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini, dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai,” titah baginda
bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada hari ini (3 Februari) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Sultan Ibrahim bertitah lagi, baginda menegaskan bahawa Parlimen bukannya tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah sebaliknya Dewan Mulia ini bagi membahaskan agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
Menurut baginda, Ahli Parlimen perlu menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.
“Saya perhatikan dalam persidangan Parlimen tahun lalu, Ahli-Ahli Dewan banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah diucapkan kepada semua,” titah Sultan Ibrahim.
Namun begitu, Baginda menegaskan masih ada segelintir Ahli-Ahli Dewan yang sukar untuk membuang tabiat lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli Dewan sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan di atas peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi serta sosial negara.