Saturday, 22, February, 2025
Utama Nasional Umat Islam digalakkan bersolidariti menerusi program bantuan pembangunan Gaza

Umat Islam digalakkan bersolidariti menerusi program bantuan pembangunan Gaza

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seluruh umat Islam dianjurkan dan digalakkan turut bersama bersolidariti menerusi
program pembangunan Gaza sebagai satu bentuk penterjemahan semangat persaudaraan dan kesatuan ummah Islamiyah.

Menerusi teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini
umat Islam diseru berganding bahu dan berkerjasama dalam meringankan beban kehidupan yang sedang ditanggung oleh umat Islam di Gaza mutakhir ini menerusi program bantuan pembinaan Gaza.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan secara teratur dan bertanggungjawab sumbangan oleh umat Islam di negara ini demi menjayakan aspirasi kerajaan menerusi program yang amat mulia ini.

“Alhamdulillah, negara kita sejak dahulu lagi antara yang konsisten dan terkedepan dalam usaha membela nasib dan perjuangan rakyat Palestin.

“Sejajar dengan semangat persaudaraan ummah dan tanggungjawab kemanusiaan sejagat, pihak kerajaan telah mengumumkan hasrat dan komitmen untuk bergandingan dengan Jepun serta egara lain di peringkat antarabangsa dalam inisiatif pembangunan semula Gaza.

“Pada peringkat awal ini, kerajaan berhasrat untuk menyumbang bagi pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza.Menerusi sumbangan ini, ia diharapkan akan dapat membantu mengatasi beban dan krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin ini.

“Program bantuan bagi pembangunan sekolah, hospital dan masjid ini memerlukan penglibatan dan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia termasuk agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menurut teks khutbah berkenaan, iltizam dalam membangun semula Gaza merupakan jihad penyatuan ummah tanpa mengira perbezaan pandangan, mazhab atau pendirian politik.

“Sesungguhnya umat Islam adalah bersaudara, enjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk sentiasa peka, bersikap peduli dan bertolongan antara sesama Muslim bersandarkan semangat ukhwah Ummah Islamiyah.

“Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya),” katanya.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada 28 Januari yang lalu, sebanyak 69% peratus struktur bangunan di seluruh Gaza telah musnah.

Dalam aspek pendidikan, sebanyak 88% peratus iaitu 496 daripada 564 buah sekolah dan 51 buah universiti di Gaza musnah dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau pemulihan besar.

Bagi sektor kesihatan, badan PBB itu turut melaporkan bahawa sebanyak 50% peratus iaitu 18 daripada 36 buah hospital di Gaza hanya dapat berfungsi sebahagian, manakala 11 buah hospital lapangan berfungsi, termasuk lapan (8) secara penuh dan 49 sebahagian.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula melaporkan bahawa sebanyak 815 buah masjid di Gaza telah musnah sepenuhnya dan 151 buah rosak sebahagiannya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com