ALOR SETAR – Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini tidak perlu gentar dengan sebarang kritikan kerana ia perkara biasa yang akan berlaku pada setiap persidangan itu berlangsung.
Profesor Pengajian ASEAN UIAM
Phar Kim Beng berkata ia termasuk kritikan tidak membina dalam kebanyakan keadaan.
Katanya, ASEAN harus dipandu oleh Piagam ASEAN dan Bab 8 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , bukan oleh retorik politik yang tidak memahami sejarah dan prinsip asas organisasi ini.
“Bab 8 Piagam PBB juga memberi kuasa kepada organisasi serantau untuk menguruskan hal ehwal mereka sendiri. Oleh itu, ASEAN menegaskan bahawa semua urusan masa depan mesti berpandukan Piagam ASEAN 2007, yang turut diterima oleh Parlimen Indonesia pada 2009.
“Namun, tidak semua Menteri Luar ASEAN memahami asas epistemologi ASEAN, termasuk cabaran sejarah sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967 dan peristiwa penting seperti pengunduran AS daripada Perang Vietnam pada 1975. Akibatnya, nasihat mereka kepada pemimpin negara boleh tersasar dari landasan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata sebagai contoh, bukan tugas Menteri Luar untuk bercakap mengenai Bursa Saham ASEAN malangnya, media ASEAN juga tidak memahami kesilapan ini.
Katanya, isu yang sepatutnya dibincangkan oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada Februari 2025 kini menjadi kekeliruan.
“Mengapa Kementerian Luar Negeri Malaysia mengambil pendirian ini? Adakah Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menyedari penyimpangan ini? Pengkritik Anwar akan memanipulasi isu ini untuk menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kerajaan gabungan pimpinannya.
Kritikan terhadap kerajaan gabungan Anwar Ibrahim dijangka berterusan sepanjang 2025. Mengapa? Ini kerana mebanyakan pihak, termasuk akademik dan pemikir di dalam dan luar Asia Pasifik, tidak memahami bagaimana ASEAN berfungsi dengan Rakan Dialognya seperti Australia, India, China, Jepun, Korea Selatan, dan AS,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tahun ini juga menyaksikan kali pertama Malaysia mempengerusikan ASEAN di bawah kerajaan gabungan, berbeza dengan 1985, 1995, 2005, dan 2015 yang dipimpin oleh kerajaan majoriti tunggal.
“Contohnya, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia berasal dari UMNO, manakala Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menteri Pelancongan pula dari Sarawak, menunjukkan kepelbagaian parti dalam kerajaan.
“Oleh itu, sama ada kritikan datang daripada Bridget Jones atau Bonnie dan Clyde di AS, Malaysia dan ASEAN perlu memahami kritikan itu dalam konteks Piagam PBB dan ASEAN.
” Pilar Sosial-Budaya ASEAN tidak merangkumi dialog antara agama. ASEAN memberi tumpuan kepada pencegahan bencana dan bantuan pembangunan, bukan perbincangan keagamaan. Hanya pakar teknikal ASEAN yang memahami perbezaan ini,” jelas beliau.
Beliau berkata kepimpinan Donald Trump di Amerika Syarikat mungkin sering menyerang institusi antarabangsa, tetapi beliau hanya mempunyai empat tahun untuk membuat perubahan sebelum Kongres AS mengadakan pilihan raya pertengahan penggal pada November 2026.
“Jika Pengerusian ASEAN 2025 mencabar, kita harus mengingati pepatah Sun Tzu, “Untuk menang 100 pertempuran, kenali diri sendiri.”
“Pengerusi ASEAN mesti menekankan kemampanan dan keterhubungan, dua konsep yang berasal daripada Pelan Tindakan Induk ASEAN (MAP 2010 dan 2015) yang dipersetujui di Hanoi dan Putrajaya.Hanya dengan memahami sejarah dan keadaan semasa, ASEAN boleh merangka masa depan sehingga 2045.
“Apa pun tekanan dari Washington DC, PBB dan ASEAN mampu menanganinya, sebab itulah dasar luar AS kini memperlihatkan Trump apabila berkata sesuatu Setiausaha Negaranya, Marco Rubio akan cuba mengubah naratifnya.