ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan beliau kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan atas keikhlasan beliau yang sentiasa memberi sokongan dan solidariti sepanjang perjalanan politiknya.
Anwar berkata Erdogan adalah salah seorang insan yang tampil membantu beliau ketika ramai pihak memilih untuk menjauhkan diri ketika beliau dalam kesulitan.
“Ketika saya menghadapi ujian peribadi, beliau menghulurkan tangan ketika ramai yang berpaling.
“Sokongannya bukan sekadar formaliti atau untuk kepentingan politik. Tidak, ia adalah lambang persaudaraan yang tulen. Saya tidak akan melupakannya, dan saya tidak akan melupakannya selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikikan ketika berucap pada Syarahan Umum oleh Presiden Erdogan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa hubungan antara Malaysia dan Turkiye bukan sekadar hubungan diplomatik, tetapi turut diperkukuhkan dengan kepercayaan dan persahabatan sejati antara pemimpin kedua-dua negara.
Beliau mengakui bahawa kepimpinan Erdogan bukan sahaja memberi impak besar dalam politik antarabangsa tetapi juga dalam menyokong mereka yang memerlukan.
Selain itu, Perdana Menteri turut memuji Erdogan sebagai seorang pemimpin yang berprinsip dan berani, terutama dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia.
“Presiden Erdogan telah menunjukkan kejelasan moral dan keberanian dalam isu Palestin. Dalam era di mana prinsip sering dikorbankan demi kepentingan tertentu, beliau tetap bersuara lantang menentang penindasan, penjajahan, dan genosid.
“Beliau tidak gentar untuk menyuarakan kebenaran, terutama dalam isu Palestin. Sokongan Turkiye di bawah kepimpinannya bukan sekadar kata-kata, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang bermakna,” katanya.
Perdana Menteri berkata hampir tiga dekad lalu, beliau menulis The Asian Renaissance tentang bagaimana negara dan rakyat di rantau ini bangkit daripada belenggu kolonialisme, mengembalikan hak mereka, dan merintis jalan baharu menuju kemodenan.