ALOR SETAR – Ibu bapa menyambut baik Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian bagi memastikan anak-anak mereka tahu mengenai batas terhadap penggunaan internet.
Menurut seorang jurutera, Khairul Amirullah Jamaluddin, 45, dia menghadkan penggunaan internet kepada anak-anaknya kerana bimbang akan terjeremus dalam perkara yang tidak sihat di media sosial.
Katanya, jelajah kempen berkenaan dianggap kaedah terbaik untuk mendedahkan murid sekolah dengan kebaikan dan keburukan penggunaan internet terutama kandungan di media sosial.
“Saya rasa ia satu langkah yang baik, sebab tak semua ibu bapa mampu untuk pantau anak mereka, apabila ada jelajah seperti ini, anak-anak akan dapat pendedahan yang sepatutnya.
“Anak saya ada yang sekolah rendah berusia 12 dan sembilan tahun, dua lagi sekolah menengah, untuk anak sekolah rendah saya hanya beri mereka main telefon sejam sehari, hanya kandungan yang sesuai saja saya izinkan mereka tengok,” katanya yang bertugas di Alor Setar.
Seorang lagi waris yang merupakan pesawah, Md Hussin Abdullah, 51 berkata, Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian sangat baik untuk memastikan kesihatan mental anak-anak agar tidak ketagih dengan gajet.
“Jangan kata kanak-kanak, orang dewasa pun terpengaruh dengan content di media sosial, ada yang rasa tertekan atau cemburu sebab bandingkan kehidupan mereka dengan apa yang ditampilkan orang lain di media sosial.
“Dalam masa yang sama, sekarang ini zaman scammer, bukan orang tahu taktik scammer, ramai yang mudah terpedaya tak kira lah golongan petani atau profesional, harap kerajaan boleh perluaskan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian bertujuan untuk meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan internet, akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara.
Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan hari ini memaklumkan jelajah yang telah dimulakan kementerian itu, digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).