Friday, 21, February, 2025
Utama Negeri PeSAWAH tetap ucap terima kasih kepada kerajaan

PeSAWAH tetap ucap terima kasih kepada kerajaan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) tetap merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas kenaikan harga lantai padi yang diumumkan hari ini walaupun kurang berpuas hati kerana kenaikan tidak seperti yang diharapkan.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata harga RM1,500 yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu tidak mencukupi untuk
menampung kenaikan kos yang naik akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan harga benih pada tahun lalu.

“Pengumuman ini tidak memenuhi aspirasi dan harapan kami, iaitu
penetapan harga lantai padi pada kadar RM1,800.Kami ingin menegaskan bahawa tuntutan kami agar harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 adalah tuntutan yang munasabah dan berasas.

“Ia mengambil kira peningkatan kos
sara hidup serta kos diesel dan benih yang meningkat, serta pelbagai cabaran lain yang dihadapi oleh pesawah dalam usaha memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata pihaknya sangat berharap kementerian untuk meneliti semula tuntutan PeSAWAH dan mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi membantu pesawah.

Katanya, PeSAWAH mencadangkan agar insentif harga padi sebanyak RM300 diberikan kepada pesawah sebagai tambahan kepada harga lantai padi RM1,500 yang diumumkan

“Selain itu harga kawalan benih padi sah daripada RM58 ketika ini harap dapat diturunkan kepada RM35 iaitu harga
asal benih padi sebelum ini memandangkan harga belian padi telah mengalami penurunan berbanding ketika harga benih dinaikkan pada Mac 2024 lalu.

“Alasan harga benih dinaikan
pada waktu tersebut adalah kerana harga belian semasa padi (bukan harga lantai) yang ditawarkan kilang adalah RM1700.

“Kami berharap, pihak kerajaan dapat mendengar dan memahami rintihan kami. Kami adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara, jika kami tidak diberikan sokongan yang sewajarnya, bagaimana mungkin kami dapat terus menghasilkan padi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Rahsid juga berharap rakyat dan pemimpin memahami bahawa pesawah hanya mendapat 20 peratus daripada subsidi yang bernilai berbilion ringgit iaitu dalam bentuk insentif harga padi.

Katanya, subsidi subsidi lain yang disebut oleh Menteri dalam sesi parlimen sebentar tadi diagihkan kepada pihak vendor yang membekalkan benih, input pertanian dan perkhidmatan jentera.

“Pokok kepada isu subsidi ini sebenarnya adalah harga beras yang sudah 17 tahun tak dinilai semula, kerana itulah subsidi bertambah setiap tahun untuk menyerap harga kawalan beras tersebut. Subsidi padi bukan ehsan kerajaan tapi kewajipan kerajaan kerana kerajaan mengawal harga beras,” katanya.

Terdahulu kerajaan bersetuju untuk menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan berbanding RM1,300 per tan sebelum ini berkuatkuasa 16 Februari ini.

Mohamad juga mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, dimana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com