KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu, di sini pagi tadi untuk meninjau keadaan dan suasana hari pertama persekolahan.
Menurutnya, lawatan ini bertujuan memastikan persekitaran sekolah yang baik dan selesa bagi anak-anak bangsa serta mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa, dan pelajar.
Dalam kunjungan singkat tersebut, Perdana Menteri menyatakan bahawa pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi juga soal membina impian, menerjah peluang, dan mencorak harapan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi dan kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.
“Saya sempat menghimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC di tahun-tahun lampau, yakni betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.
Beliau juga menekankan bahawa tanggungjawab membina kejayaan anak bangsa terletak di tangan pemimpin, guru, pendidik, dan ibu bapa bersama.
“Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu,” tambahnya.