Friday, 21, February, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Sindiket dadah antarabangsa tumpas, dadah RM4 Juta dirampas

Sindiket dadah antarabangsa tumpas, dadah RM4 Juta dirampas

oleh Ammar Haziq

ALOE SETAR–  Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan Polis Kedah selepas merampas pelbagai dadah bernilai RM4 juta di sebuah pusat perniagaan di Sungai Petani, Ahad lalu.

Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan ketika sedang menunggu transporter lain untuk mengambil dadah berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata, serbuan pada jam 7 pagi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berdasarkan maklumat risikan.

“Pemeriksaan pada tubuh suspek membawa kepada penemuan kunci kereta yang membawa kepada sejumlah dadah jenis syabu dan pil ecstacy dalam tiga buah beg kanvas berwarna oren dan satu beg kanvas besar berwarna biru di bonet belakang kereta Honda Civic RS berwarna putih,” katanya pada Selasa.

Fisol berkata, dadah jenis syabu seberat 51 kilogram (kg) dan pil ecstacy seberat 14.9 kg dipercayai untuk dihantar ke pasaran luar negara.

“Hasil siasatan menunjukkan ini bukan bekalan untuk tempatan tetapi untuk dihantar ke luar negara. Kedah mempunyai laut di sebelah Kuala Muda yang mempunyai jeti-jeti haram,” ujarnya.

Fisol juga memaklumkan bahawa suspek yang berasal dari Johor mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Menurutnya, modus operandinya adalah membawa sahaja, sebelum diterima orang lain namun masih dalam siasatan polis.

Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Fisol memuji usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditumpaskan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com