Friday, 21, February, 2025
Utama Negeri Kisah duka Muhammad Sufi dapat perhatian PM

Kisah duka Muhammad Sufi dapat perhatian PM

oleh Ammar Haziq

JITRA – Kehidupan Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, berubah sekelip mata selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada Disember lalu.

Kemalangan itu menyebabkan tempurung sebelah kanan kepalanya terpaksa dibuang, meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam kehidupannya.

Kini, dia menetap bersama ibunya, Nooraini Ishak, 71, di Taman Jitra Indah, mengharungi hari-hari mendatang dengan penuh kecekalan.

Akibat kecederaan parah di otak, doktor terpaksa memotong dan mengeluarkan separuh tempurung kepalanya bagi mengelakkan jangkitan kuman daripada merebak.

Lebih memilukan, ujian ini bukan sahaja menjejaskan kesihatannya, malah meruntuhkan rumah tangganya.

Perkahwinannya berakhir dengan perceraian, meninggalkan seorang anak perempuan berusia lima tahun yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ayah.

Sebelum ini, Muhammad Sufi bekerja sebagai petugas fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Namun, akibat kerap mengambil cuti sakit, dia terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan.

Kini, dia bergantung kepada perniagaan kecil-kecilan menjual daging salai dari rumah bagi menampung perbelanjaan harian serta mengumpul dana untuk membeli implan tempurung kepala.

“Hobi saya memasak, kalau boleh saya nak masak semula macam dulu. Saya buat cheese cake, brownies, daging salai, masak lemak cili api… jual online, lepas tu jiran-jiran pun beli,” katanya dengan nada sebak.

Kisah pilu Muhammad Sufi akhirnya mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) tampil menghulurkan sumbangan wang tunai sebanyak RM15,000 serta bantuan barang makanan kepada Muhammad Sufi.

Sumbangan ini disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Kedah, Zaiton Yahya.

“Kita lihat keadaan Encik Sufi yang mengalami kecederaan serius di kepala, jadi ini adalah keprihatinan kita untuk meringankan beban beliau dalam menghadapi kesukaran ini,” kata Zaiton.

Dengan nada penuh kesyukuran, Muhammad Sufi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta semua pihak yang menghulurkan bantuan.

“Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang prihatin terhadap saya dan terima kasih atas sumbangan ini kerana dapat meringankan kos rawatan saya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com