GEORGETOWN – Tiada lagi suara ceria dan tawa riang Mohamad Fahmi Hafiz, kanak-kanak berusia 10 tahun yang menghembuskan nafas terakhir di sisi ibu dan bapanya setelah beberapa hari bertarung nyawa akibat dipercayai tercekik gula-gula kenyal.
Mohamad Fahmi pergi dengan tenang pada malam Khamis selepas ibunya, Nuraini Mohamad Isa, 37, membisikkan kalimah syahadah di telinganya.
Bapanya, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak sulungnya, walaupun begitu berat untuk menerima kenyataan itu.
“Kami beritahu dia, jika hendak pergi, pergilah. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi menanggung kesakitan. Ada air mata bertakung di matanya, dan dia pergi dalam keadaan cukup tenang, seolah-olah sedang tidur,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada malam Khamis.
Menurut Mohamad Fakhruddin, mereka sekeluarga sempat menziarahi Fahmi buat kali terakhir pada sebelah petang.
Adiknya, Nufa Fakhira yang baru berusia empat tahun juga turut hadir dan menangis memanggil abangnya, mengajaknya mandi kolam bersama.
Jenazah anak kecil itu akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Permatang Binjai, Penaga selepas urusan bedah siasat selesai.
“Tangan yang menjaganya sejak kecil akan mandikan dan kafankannya. Saya tidak pasti bagaimana akan saya lakukan nanti,” luahnya.
Terdahulu, media melaporkan Mohamad Fahmi berada dalam keadaan kritikal selepas tercekik gula-gula kenyal yang dibelinya di luar kawasan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sungai Dua, Butterworth.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu menyebabkan mangsa rebah ketika ingin ke tandas sebelum seorang guru segera menghubungi pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian daripada guru lelaki terbabit.
Pegawai kesihatan yang tiba di lokasi berjaya mengorek dan membuang gula-gula yang tersangkut di dalam mulut mangsa, namun kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhirnya beberapa hari kemudian.
Kesedihan kehilangan anak tercinta ini turut dirasai ahli keluarga serta orang ramai yang mengikuti perkembangannya.
Semoga roh Mohamad Fahmi Hafiz dicucuri rahmat dan keluarganya diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan berat ini.