Friday, 28, February, 2025
Utama Nasional Peruntukan RM 1 bilion bukti Kerajaan Madani tidak pinggirkan negeri pembangkang

Peruntukan RM 1 bilion bukti Kerajaan Madani tidak pinggirkan negeri pembangkang

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR– Kerajaan Madani yang dipimpin  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan pesawah dan memastikan keterjaminan makanan negara.

Dalam usaha ini, kerajaan telah mengumumkan Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim dengan peruntukan hampir RM1 bilion di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1.

Projek ini melibatkan keluasan sekitar 11,000 hektar dan bertujuan meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus serta menaikkan pendapatan 6,100 pesawah sehingga 43 peratus.

Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan tidak meminggirkan mana-mana negeri, termasuk negeri pembangkang, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Rakyat Kedah, khususnya golongan petani, berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak menganaktirikan mana-mana negeri.

Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira perbezaan politik.

Selain itu, Perdana Menteri turut membantu para pesawah melalui inisiatif lain seperti pemberian bantuan khas oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan bantuan banjir untuk Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

Langkah-langkah ini amat bermakna bagi meringankan beban pesawah yang terjejas akibat bencana alam.

Ahli Parlimen Sungai Petani,Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata, kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak pernah mengambil inisiatif sebegini untuk negeri-negeri pembangkang dan para pesawah padi.

Menurutnya, ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani benar-benar komited dalam memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Saya yakin bahawa Kerajaan Madani akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam hal ini, demi memastikan keterjaminan makanan negara dan kesejahteraan para pesawah terus terpelihara,” katanya.

Tambahnya, dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Madani, diharapkan industri padi dan beras negara akan terus berkembang maju, sekaligus memastikan keterjaminan makanan dan kesejahteraan para pesawah terpelihara.


Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com