Friday, 14, March, 2025
Utama Nasional Perbelanjaan baiki tandas sekolah sudah mencecah RM1 bilion

Perbelanjaan baiki tandas sekolah sudah mencecah RM1 bilion

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perbelanjaan untuk memperbaiki tandas sekolah seluruh negara sudah mencecah RM1 bilion.

Perdana Menteri berkata masalah infrastruktur sekolah-sekolah di negara ini antara perkara awal yang menjadi keutamaan sejak beliau memegang portfolio Menteri Kewangan tahun lalu.

Katanya, ini kerana beliau menyedari banyak masalah yang dihadapi termasuk pembangunan, kantin dan tandas sekolah yang memerlukan perhatian segera .

“Antara hal awal yang saya bangkitkan sebaik mengambil alih jabatan ini ialah memantau kedudukan sekolah.

“Banyak masalah sekolah, pembangunannya, kantin, tapi saya mula dengan tandas kerana itu pun dah cecah RM1 bilion. Saya kira selesai, bukan selesai semuanya.

“Malah ada sekolah di sekitar Kuala Lumpur, kita harus perbaiki jadi saya rasa caranya bagaimana. Nak harapkan Jabatan Kerajaan atau Kementerian Pendidikan sahaja tak terupaya, seorang pegawai pendidikan daerah yang jelajah, 50 sekolah menengah, 60 sekolah rendah, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil.Jadi kita anjurkan dengan perkenalkan program Sekolah Angkat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Anwar berkata pihaknya nelantik jawatankuasa pemantau bagi memastikan penyelenggaraan tandas sekolah berjalan lancar.

“Saya ada jawatankuasa, pemantauan dan rakan yang akan memberi laporan dan kita akan bantu sedaya upaya. Apakah contoh terbaik itu selesai? Saya rasa belum. Tetapi saya rasa boleh,” kata Perdana Menteri lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com