Friday, 14, March, 2025
Utama Ekonomi Platform MDT luaskan eksport Malaysia ke pasaran dunia

Platform MDT luaskan eksport Malaysia ke pasaran dunia

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Platform bersepadu maya yang direka untuk mengukuhkan akses pengeksport Malaysia ke pasaran antarabangsa, Madani Digital Trade (MDT) secara rasmi dilancarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini.

Dengan kerjasama Nazsoft Tech Sdn Bhd platform MDT itu menawarkan perniagaan fungsi pemadanan perniagaan, pasaran digital, risikan pasaran atas geran, latihan, akses pasaran, serta penyelesaian perniagaan berkaitan perdagangan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, perdagangan digital sangat penting dalam memacu
pertumbuhan ekonomi seiring dengan dasar perdagangan serta ekonomi digital Malaysia.

Beliau berkata, perdagangan digital adalah kunci kepada transformasi ekonomi Malaysia, seperti yang digariskan di dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Katanya, inisiatif itu turut menyokong komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Rangka Kerja Digital ASEAN (DEFA) meletakkan negara sebagai peneraju serantau dalam perdagangan digital.

“MDT akan membolehkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meluaskan jangkauan pasaran, meningkatkan kecekapan perdagangan dan mempercepatkan pendukungan digital memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam ekonomi digital antarabangsa

“Ia menawarkan kelebihan yang jelas dalam membantu perniagaan meletakkan diri mereka secara kompetitif, bukan sahaja dalam ASEAN tetapi juga di peringkat global.

“Secara ringkasnya, dengan rangkaian alat dan sumber yang komprehensif, MDT bersedia untuk memacu pertumbuhan eksport Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran antarabangsa,” katanya selepas majlis pelancaran platform Madani Digital Trade di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pemerkasaan PKS secara digital adalah keperluan yang penting selain memperkukuh rangka kerja peraturan bagi memperluaskan akses pasaran untuk pengeksport.

Beliau berkata, walaupun MITI dan MATRADE giat meneroka serta mengembangkan pasaran baharu melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan serta inisiatif lain, akses menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan rangka kerja lain juga memainkan peranan yang sama penting.

Katanya, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut membantu memperkukuhkan lagi perdagangan negara, dengan MITI mengetuai Rangka Kerja Ekonomi ASEAN.

“Justeru, MITI bertekad untuk mencapai sebanyak mungkin kemajuan dalam Pelaksanaan Ekonomi Keutamaan (PED) bagi 2025. Antara PED yang sedang diusahakan termasuk memajukan atau menyelesaikan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), serta FTA dengan China (ACFTA) dan India (AITIGA).

“Kami juga sedang berusaha membangunkan kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN juga sedang mempertimbangkan untuk menerima pakai Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG), serta membangunkan rangka kerja bagi Peta Jalan Kenderaan Elektrik ASEAN, Pusat Peralihan Hijau PKS, dan Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu ASEAN (AFISS),” katanya.

Tengku Zafrul berkata, PED lain yang menjadi tumpuan adalah rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), satu inisiatif penting yang bertujuan mempercepatkan transformasi dan integrasi digital dalam ASEAN.

Beliau berkata, rundingan DEFA merangkumi pelbagai elemen utama seperti perdagangan digital, e-dagang rentas sempadan, keselamatan siber, identiti digital, pembayaran digital, aliran data rentas sempadan, serta topik-topik baharu yang sedang berkembang.

“Sasaran kami adalah untuk menyelesaikan rundingan menjelang akhir tahun ini serta membangunkan pelan pelaksanaan yang komprehensif selepas 2025.

“DEFA dijangka menyumbang sehingga AS$2 trilion kepada ekonomi digital serantau menjelang 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia dalam tempoh yang sama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com