Thursday, 3, April, 2025
Utama Nasional Lapan sukarelawan maut: Malaysia kutuk pembunuhan, kezaliman rejim Israel

Lapan sukarelawan maut: Malaysia kutuk pembunuhan, kezaliman rejim Israel

oleh Ammar Haziq

BAYAN LEPAS – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara rejim Israel yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di utara Gaza, Sabtu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia secara rasmi membantah tindakan keganasan yang berterusan oleh tentera Zionis di bumi Palestin, terutama serangan yang menyasarkan petugas kemanusiaan yang menjalankan misi membantu mangsa perang.

“Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas untuk misi kemanusiaan seperti membantu pesakit dan mereka yang kehilangan tempat tinggal,” katanya pada Selasa.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), hari ini.

Anwar menegaskan bahawa serangan kejam itu tidak boleh diterima dan Malaysia akan terus menyuarakan bantahan di peringkat antarabangsa bagi menekan Israel supaya menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim, mengesahkan bahawa lapan petugas warga Palestin yang berkhidmat dengan MAPIM terkorban dalam serangan udara tersebut.

Insiden tragis itu berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari waktu tempatan di Beit Lahiya, utara Gaza, ketika mereka sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan tentera Israel.

Mereka yang terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com