KUALA LUMPUR:Budaya menubuhkan syarikat serta amalan menyimpan syarikat yang tidak mencatatkan keuntungan harus dihentikan serta merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan melaksanakan pemantauan ketat terhadap syarikat di bawah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Bagaimanapun katanya yang juga Menteri Kewangan setakat ini, hanya sejumlah kecil sahaja syarikat di bawah GLIC dan GLC yang ditutup.
“Tetapi, dengan prinsip ketelusan dan tatakelola, yang ditutup banyak itu di bawah agensi kerajaan, umpamanya syarikat kecil di bawah RISDA atau FELDA yang tidak memenuhi keperluan dan tujuan matlamat asal. Itu dan kalau tidak catat keuntungan, kita tutup.
“Tidak relevan bagi syarikat yang dibuka, kemudian ada ahli lembaga, kemudian ada allowance-nya (elaun), syarikatnya rugi. Jadi kita rasa ini amalan yang budaya yang tidak memberi manfaat dan harus dihentikan,” kata beliau semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai pencapaian dan keberkesanan fungsi komposisi lembaga pengarah GLIC dan GLC yang ditetapkan pencapaian dan integriti operasi pelaburan dan perkhidmatan.
Anwar berkata, pemantauan terhadap GLIC dan GLC kini dilaksanakan dengan lebih ketat lagi.
Ini saya boleh bagi jaminan, pada 2023 ada pemantauan secara menyeluruh dan lebih ketat dan pengurusan syarikat-syarikat ini dipertanggungjawabkan seandainya ada kelemahan untuk diperbaiki.
“Jadi untuk GLIC dan GLC, saya bagi jaminan ia (pelaksanaannya) lebih keras sekarang ini dan ia turut dijalankan kepada semua agensi-agensi kerajaan di mana sebahagiannya tidak munasabah dipertahankan,” katanya.