Wednesday, 2, April, 2025
Utama Umum 8.5 Juta rakyat terima STR Fasa 2 mulai 24 Mac

8.5 Juta rakyat terima STR Fasa 2 mulai 24 Mac

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula 24 Mac 2025 (Isnin) bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan telah memperuntukkan RM1.7 bilion bagi STR Fasa 2, meningkat daripada RM1.5 bilion pada tahun lalu.

Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 9 juta penerima, merangkumi 60 peratus rakyat dewasa Malaysia, dengan jumlah bantuan maksimum sebanyak RM650 bergantung kepada kelayakan penerima.

“Kerajaan MADANI kekal komited dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup. Peningkatan peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion pada tahun ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat melalui pengkreditan ke akaun bank penerima atau boleh dituntut secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank.

Kerajaan juga memperkenalkan sistem pendaftaran STR sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk menikmati bantuan ini. Bagi mereka yang belum berdaftar, permohonan boleh dibuat melalui Portal Rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Pelaksanaan STR Fasa 2 ini diharap dapat meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, menjelang Aidilfitri.

Langkah ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan diagihkan secara lebih inklusif dan menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com