Wednesday, 2, April, 2025
Utama Nasional Ibu bapa disarankan bentuk anak jadi pakar demi kemajuan negara

Ibu bapa disarankan bentuk anak jadi pakar demi kemajuan negara

oleh Ammar Haziq

TUARAN:Ibu bapa di negara ini disarankan untuk memberi fokus dalam membentuk dan mendidik anak-anak mereka menjadi pakar tempatan bagi memenuhi keperluan negara di masa depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana Kerajaan MADANI sedang giat mempromosi Malaysia terutama kepada syarikat luar negara bagi membawa masuk pelaburan serta teknologi baharu yang memerlukan lebih ramai tenaga pakar.

Katanya, anak tempatan perlu mengambil peluang itu kerana kerajaan tidak mahu ia terlepas kepada mereka dari negara luar.

“Keadaan berubah dengan ledakan teknologi terutama AI (kecerdasan buatan), jadi ibu bapa perlu beri tumpuan kerana kita perlu pakar daripada anak-anak sekolah kita dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat baik, belajar dengan tekun sains, teknologi dan matematik manakala disiplin juga dijaga baik.

“Kita hanya mampu bawa (syarikat luar) datang ke Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan negeri lain, kerja kita jadi jurujual negara maknanya menarik minat mereka tetapi kalau anak-anak kita tidak terlatih, kita terpaksa mencari pakar luar negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Anwar juga berkata apabila anak-anak berjaya dibentuk dengan baik bagi mewarisi negara, beliau yakin Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah menjadi sebuah negara maju dengan teknologi terkini.

“Tolonglah ingat baik-baik pesan Tok Anwar ini, ubah diri masing-masing menjadi pakar untuk majukan negara kita dan bantulah rakyat kita dengan sebaiknya,” kata beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com