TUARAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan latihan integriti dan disiplin diri dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Beliau berkata, ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi turut mengajar nilai kejujuran dan tanggungjawab kerana hanya individu itu sendiri dan Allah yang mengetahui sama ada dia benar-benar berpuasa atau tidak.
“Kita dilatih untuk berpuasa, apa erti disiplin, integriti dan keperibadian unggul kerana kita bertanggungjawab kepada Allah. Integriti ini diperkukuh dalam bulan Ramadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Anwar menegaskan bahawa Ramadan turut mendidik umat Islam untuk lebih prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan dengan memahami cabaran seperti kelaparan dan kesukaran hidup mereka.
“Ramadan mengajar kita nilai Rahmah. Dua pertiga Ramadan telah berlalu, jadi adakah kita benar-benar menjaga orang miskin? Jika benar, kita harus membantu anak yatim dan golongan kurang berkemampuan agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan gembira,” ujarnya.
Dalam usaha mengurangkan kesenjangan sosial, Perdana Menteri turut menyeru umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat, yang disifatkannya sebagai instrumen ekonomi penting dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Bayar zakat sekali lagi mengingatkan kita bahawa ia bukan sekadar kewajipan agama, tetapi juga mekanisme untuk membantu rakyat yang hidup dalam kesusahan,” katanya.
Selain aspek sosial dan ekonomi, Perdana Menteri juga menggalakkan umat Islam untuk terus memakmurkan masjid sepanjang Ramadan, bukan hanya untuk solat berjemaah, tetapi juga sebagai pusat penyatuan masyarakat.
Menurut beliau, amalan yang dipupuk sepanjang Ramadan bukan sekadar untuk sebulan tetapi harus diteruskan dalam kehidupan seharian sebagai asas membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan bersatu.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga ruang untuk membentuk karakter dan kesejahteraan ummah,” katanya.