KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berhatap Yayasan Karyawan menetapkan hala tuju serta melipatgandakan strategi baharu berkaitan promosi Karya Agung Melayu serta Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia.
Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau mahu karya-karya agung itu dapat dibekalkan di semua jenis sekolah, universiti awam, entiti atau fakulti berkaitan.
“Usaha ini boleh diadaptasi dan disegarkan menerusi teknologi kecerdasan buatan dengan semua pihak berkepentingan serta memperkenalkan semula program Hadiah Bahasa di semua peringkat sekolah dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran itu, Anwar berkongsi bahawa beliau telah menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan yang diketuai Pengerusinya Datuk A. Aziz Deraman, yang bakal menyambut ulang tahun penubuhannya ke-30 tahun ini.
Beliau berkata, antara dibincangkan pada pertemuan itu ialah hala tuju Yayasan Karyawan dalam aspek memelihara sumber rujukan, peneraju promosi dan peringkat pemilikan kepada karya-karya agung.
Anwar berkata, pertemuan itu juga mengimbau usaha beliau dan rakan-rakan seperjuangan yang cintakan pelbagai variasi karya agung dengan mengasaskan Yayasan Karyawan pada 1996.
Penubuhan Yayasan Karyawan bertujuan mengkaji dan menerbitkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia dalam bahasa Melayu.
Karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun.