ALOR SETAR:Pelaksanaan insentif Rebat RAHMAH secara one-off kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disambut baik oleh petugas keselamatan negara berikutan ia dapat membantu mengurangkan beban mereka.
Insentif kepada anggota beruniform
dan awam yang berkhidmat dengan PDRM memberi kelegaan buat mereka sekali gus mereka berasa sangat dihargai.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata insentif ini sudah tentu dapat menyemarakkan semangat anggota PDRM yang bertugas tanpa mengira waktu menjaga keselamatan negara.
“Saya sambut baik insentif yang diberikan kepada anggota badan berunifom, ia boleh dianggap sebagai penghargaan kerajaan kepada PDRM.
“Semoga dengan insentif ini, anggota termasuk kakitangan awam yang berkhidmat dengan PDRM akan bertugas dengan lebih cekap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, penjawat awam yang berkhidmat dengan PDRM, Umi Nadirah Nazri, 37, berkata intensif ini sangat dinantikan kakitangan awam seperti mereka yang secara tidak langsung mengurangkan beban mereka untuk tempoh sebulan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana turut prihatin dengan kakitangan awam dalam PDRM, intensif ini sangat menggembirakan kami dan berharap dapat diberikan lagi selepas ini,” katanya.
Sempena Hari Polis Ke-218, Kerajaan MADANI melaluiKementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat RAHMAH secara one-off yang dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada anggota PDRM meliputi anggota beruniform dan awam yang berkhidmat dengan PDRM.
Anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.
Manakala,anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara one-off dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.