KUALA LUMPUR – Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarahkan bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam menangani serangan siber yang melanda sistem digital syarikat itu baru-baru ini.
Arahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan keselamatan infrastruktur kritikal negara daripada ancaman siber, sambil menekankan kerjasama erat antara kerajaan dan industri.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, menegaskan keperluan untuk terus memperkukuh kapasiti dan kompetensi pakar tempatan dalam menangani ancaman siber.
“Insiden itu juga menunjukkan keupayaan tempatan untuk mengendali insiden keselamatan siber harus sentiasa pada tahap terbaik.
“Keupayaan kapasiti dan kompetensi pakar tempatan harus terus diperkukuh agar kebergantungan kepada pihak asing dalam mengurus sistem kritikal negara, diminimumkan,” katanya dalam Taklimat Harian Perdana Menteri (PMO).
Beliau juga menyatakan bahawa kesiapsiagaan pakar tempatan adalah keutamaan kerajaan untuk memastikan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keselamatan negara terus terjamin.
Dalam kejadian tersebut, sistem digital MAHB telah diserang oleh penggodam yang menuntut bayaran AS$10 juta.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada ugutan itu.
Sebaliknya, beliau menekankan keperluan untuk mempertingkatkan sistem keselamatan digital negara melalui suntikan dana tambahan kepada beberapa agensi penting termasuk Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden tersebut. Beliau menasihatkan rakyat untuk mendapatkan perkembangan terkini hanya daripada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu.
Langkah ini mengukuhkan komitmen Kerajaan Madani dalam melindungi infrastruktur kritikal negara daripada ancaman siber, selain memastikan pengurusan insiden keselamatan dilakukan secara profesional dan berkesan.
Arahan ini juga menjadi bukti bahawa kerajaan memandang serius isu keselamatan siber sebagai kunci kepada kestabilan dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.